Kerajaan Fokus Bendung COVID-19

Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Barisan Nasional Sabah bukan sahaja menghormati malah menyokong  Keputusan Barisan Nasional (BN) pusat untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mencegah penularan COVID-19.

Pengerusi BN Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata perkara ini telah pun dibincangkan di peringkat BN negeri yang sememangnya sebelum ini mengambil keputusan yang sama dengan keputusan pucuk pimpinan BN Pusat.

“BN Sabah menghormati dan menyokong keputusan tersebut memandangkan Sabah ketika ini berhadapan dengan gelombang pandemik COVID-19 yang angkanya saban hari meningkat dan amat membimbangkan,” katanya ketika ditemui di sini selepas menghadiri majlis angkat sumpah Adun-Adun Sabah di bangunan DUN Sabah pada Jumaat.

Pengerusi BN pusat Datuk Seri  Dr.Ahmad Zahid Hamidi baru baru ini dalam kenyataan medianya berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak penularan wabak coronavirus (COVID-19) di negeri ini.

Menurut beliau yang juga Presiden Umno, BN mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi kerana merasakan COVID-19 perlu dielakkan dari menular, sekiranya PRK diadakan sebagaimana dialami sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri I itu berkata fokus kerajaan negeri ketika ini adalah membendung Penularan wabak virus COVID-19 daripada menular.

“Adalah lebih baik bagi kerajaan Negeri dan BN memberikan tumpuan untuk membantu rakyat menangani keperitan hidup yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik yang belum berkesudahan ini,” tambah Bung.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya sudah tiba masanya untuk ahli-ahli politik di negeri ini melangkaui sempadan parti untuk bersolidariti bersama tanpa mengira fahaman politik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Bukan masanya menuding jari antara satu sama lain segala punca peningkatan wabak COVID-19, perkara ini adalah musibah yang perlu ditangani bersama tanpa mengira fahaman politik, ” katanya.

Dalam hubungan ini menurut Bung mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor baru baru ini kerajaan bersetuju memperuntukan sejumlah RM50 juta bagi membasmi penularan pandemik COVID-19 selain membantu rakyat yang terjejas di negeri ini.

Katanya  RM10 juta daripada dana tersebut digunakan untuk memberikan bakul berisi makanan asas kepada penduduk di empat daerah iaitu Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak yang sekarang ini diisytiharkan sebagai zon merah akibat jangkitan COVID-19 yang meningkat secara drastik.

“Kerajaan akan menyalurkan bantuan makanan kepada semua yang penduduk di daerah-daerah ini,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *