Covid-19: Bank Islam Lahad Datu Ditutup Sementara

LAHAD DATU: Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Lahad Datu termasuk terminal layan diri ditutup hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, berkuat kuasa serta-merta, selepas seorang petugasnya disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata, kakitangan itu sebelum ini menjalani tempoh kuarantin di rumah bermula 28 September lalu, selepas melakukan perjalanan ke Tawau, baru-baru ini.

“Bank Islam sedang menjalankan proses sanitasi dan pembersihan di cawangan itu secara menyeluruh, termasuk ruang-ruang kemudahan umum.

“Bank juga telah melakukan langkah penjejakan kontak rapat untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai hubungan langsung dengan kakitangan terbabit serta menasihati mereka supaya menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muazzam turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelanggan menjadi keutamaan bank tersebut dan langkah pencegahan yang ketat diambil bagi menangani penularan Covid-19.

Beliau berkata, Bank Islam menggalakkan pelanggan menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital termasuk aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau Perbankan Internet Bank Islam (https://www.bankislam.biz).

“Bank Islam juga akan mengecualikan caj pengeluaran tunai di mesin MEPS supaya pelanggan bebas melakukan pengeluaran di mana-mana mesin ATM yang berdekatan dengan mereka sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPDB) ini.

“Pelanggan juga dinasihat agar merujuk platform media sosial kami untuk sebarang perkembangan terkini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

447