Polis Buru Tujuh Pendatang Haram Lari Dari PTS

TAWAU: 09 OKTOBER 2020 (Jumaat) – Polis Tawau sedang memburu tujuh lelaki warga asing yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Anak Umbuas berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi di Blok 1 Bahagian Tahanan lelaki PTS Tawau itu mendapati terdapat 14 orang tahanan lelaki (suspek) telah melarikan diri dari PTS tersebut.

Beliau berkata, tujuh orang daripada suspek tersebut berjaya ditangkap semula, manakala tujuh lagi suspek terdiri dari enam tahanan warga Filipina dan seorang tahanan warga Indonesia masih gagal dikesan dan sedang diburu.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kesemua tahanan yang melarikan diri daripada sebuah blok yang merupakan blok kuarantin sementara menunggu keputusan saringan COVID-19 yang dijalankan keatas tahanan.

Kesemua tahanan tersebut telah menjalani saringan COVID-19 sebanyak empat kali dan masih menunggu laporan terakhir daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diambil tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun jelasnya, petugas di PTS berusaha untuk mengesan kesemua suspek dan telah berjaya menahan semula enam orang tahanan.

Sementara itu seorang lagi dikesan dan ditahan melalui siri operasi Op Kesan dijalankan pihak polis. ACP Peter berkata, kesemua suspek merupakan lelaki dewasa berumur lingkungan umur 29 hingga 42 tahun merupakan tahanan PTS untuk dihantar pulang ke negara masing-masing. Sehubungan itu, polis melancarkan Ops Tutup dan Ops Kesan bagi mengesan dan menahan baki tujuh lagi suspek.

Beliau juga turut meminta orang ramai agar memberikan maklumat kepada pihak polis di balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan baki tujuh lagi suspek yang masih diburu bagi tujuan mengesan suspek.

SumbeR: #BESTAWAUfm

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1999