BN Sabah Sokong Tidak Bertanding PRK Batu Sapi

Bung Moktar

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akur dan menyokong keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mencegah penularan Covid-19.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat negeri dan ia dipersetujui sebulat suara.

“BN Sabah menghormati dan menyokong keputusan itu memandangkan Sabah ketika ini berdepan dengan gelombang pandemik Covid-19 yang angkanya saban hari meningkat dan amat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan medianya sebelum ini menyatakan keputusan BN untuk tidak bertanding pada PRK itu disebabkan peningkatan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong minggu lalu.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, keputusan itu juga selaras dengan tumpuan kerajaan negeri ketika ini iaitu untuk membendung penularan Covid-19.

“Adalah lebih baik bagi kerajaan negeri dan BN memberikan tumpuan untuk membantu rakyat menangani keperitan hidup akibat kegawatan ekonomi disebabkan pandemik yang belum berkesudahan ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, sudah tiba masanya untuk ahli politik di negeri itu untuk bersolidariti bersama tanpa mengira fahaman politik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Sekarang bukan masanya menuding jari antara satu sama lain mengenai punca peningkatan kes Covid-19.

“Perkara ini adalah musibah yang perlu ditangani bersama tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Menurutnya, Kabinet negeri menerusi mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor sebelum ini bersetuju memperuntukkan RM50 juta bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 selain membantu rakyat yang terjejas.

Katanya, RM10 juta daripada dana berkenaan digunakan untuk memberikan bakul makanan asas kepada penduduk di empat daerah iaitu Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak kira-kira dua minggu lalu.

Tempoh PKPB di daerah terbabit dipanjangkan lagi sehingga 26 Oktober ini berikutan peningkatan kes pandemik berkenaan.

Semalam, kerajaan negeri turut mengumumkan penyaluran bantuan di enam lagi daerah iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Papar dan Sandakan dengan setiap daerah diagihkan RM2 juta. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *