Hajiji Positif Covid-19?

Gambar menunjukkan papan putih tertera nama Hajiji dan isteri dipercayai di salah sebuah hospital yang tular di media sosial, hari ini. Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Sekeping gambar tular menunjukkan papan putih tertera nama Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag dipercayai di sebuah hospital menjadi tanda tanya masyarakat setempat.

Penularan gambar itu di laman sosial sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau bersama isterinya positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di hospital.

Dalam pada itu, turut tular perbualan dalam kumpulan WhatsApp menyatakan Hajiji kini dimasukkan ke wad hospital manakala keluarganya dikuarantin di Tuaran.

Selain itu, dalam perbualan sama juga turut menyebut pihak Istana Negeri mengesahkan Hajiji, isteri dan beberapa menteri positif Covid-19.

Bagaimanapun, kesahihan gambar berkenaan masih belum dapat dipastikan.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dalam kenyataan media semalam memaklumkan Hajiji kini sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Safar berkata, Ketua Menteri mengambil langkah itu selepas terdedah dengan individu yang didapati positif Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri akan tetap berfungsi seperti biasa dan sekiranya perlu mengadakan mesyuarat, ia akan dibuat menerusi persidangan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7854