Musa Aman Doakan Kabinet Sabah Beri Perkhidmatan Terbaik

Bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman berharap barisan Kabinet yang baharu akan berganding bahu dan terus bekerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri.

PETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman mendoakan barisan Kabinet negeri yang baharu dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri itu tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, banyak cabaran dihadapi ketika ini, termasuk penularan Covid-19 dan persekitaran pertumbuhan ekonomi yang agak suram.

“Saya berharap barisan Kabinet negeri akan berganding bahu dan terus bekerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Musa turut mengucapkan tahniah kepada semua Adun yang mengangkat sumpah jawatan bagi menganggotai Kabinet kerajaan negeri pimpinan ketua menteri, Hajiji Noor.

“Tahniah juga kepada semua Adun yang mengangkat sumpah untuk jawatan pembantu menteri.

“Ucapan tahniah juga kepada Kadzim M Yahya yang dilantik sebagai Yang di-Dipertua DUN Sabah. Saya yakin beliau berupaya menjalankan tanggungjawab itu dengan adil dan saksama,” katanya.

Sebelum itu, 3 Adun Umno difahamkan antara dilantik sebagai menteri penuh Kabinet Sabah, menurut sumber.

Sumber di Jabatan Ketua Menteri itu turut menamakan 3 wakil rakyat itu iaitu Jafry Ariffin (DUN Sukau) ke portfolio pelancongan, kebudayaan, dan alam sekitar, Shahelmey Yahya (DUN Tanjung Keramat) ke portfolio pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat dan Yakub Khan (DUN Karambunai) ke portfolio sains, teknologi, dan inovasi.

Turut dilantik, kata sumber, Ariffin Arif dari PPBM (DUN Membakut) ke portfolio tugas-tugas khas dan Ellron Angin dari STAR (DUN Sook) ke portfolio belia dan sukan.

Semua wakil rakyat berkenaan mengangkat sumpah jawatan masing-masing di Istana Negeri pagi tadi.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *