KOTA KINABALU: Lima lagi menteri Kabinet Sabah bersama 18 pembantu menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Ariffin Arif (PN-BERSATU) yang dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan ADUN Sukau (BN-UMNO), Datuk Jafry Ariffin (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar).
ADUN Tanjung Keramat (BN-UMNO), Shahelmey Yahya (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat); ADUN Karambunai (BN-UMNO), Datuk Yakubah Khan (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan ADUN Sook (PN-STAR), Datuk Ellron Angin (Menteri Belia dan Sukan).
Minggu lalu, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor bersama tiga Timbalan Ketua Menteri, iaitu Datuk Bung Moktar Radin (BN-UMNO-Lamag), Datuk Dr Jeffrey Kitingan PN-STAR-Tambunan) dan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang) serta dua menteri kanan mengangkat sumpah jawatan masing-masing.
Bung Moktar turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya, manakala Jeffrey dan Dr Joachim masing-masing turut memegang portfolio Menteri Pertanian dan Perikanan dan Menteri Pembangunan Industri.
Dua lagi menteri yang sudah mengangkat sumpah ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Masidi Manjun (PN-BERSATU-Karanaan) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli).
Secara keseluruhan, Kabinet baharu kerajaan Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji merangkumi 11 kementerian dengan tujuh kementerian mempunyai dua pembantu menteri, manakala empat lagi seorang pembantu menteri.
Mereka yang dilantik sebagai pembantu menteri ialah ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir (PN-STAR) dan Datuk Wetrom Bahanda (PN-BERSATU-Bandau), kedua-duanya Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Kementerian Tugas-Tugas Khas).
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (PN-BERSATU-Apas) dan Jasni Daya (BN-UMNO-Pantai Dalit) sebagai Pembantu Menteri Kewangan; Datuk Limus Jury (PN-BERSATU-Kuala Penyu) dan Datuk Robert Tawik (PN-STAR-Bingkor) sebagai Pembantu Menteri Kerja Raya.
Datuk James Ratib (BN-UMNO-Sugut) dan Hendrus Anding (PBS-Tandek) sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, manakala Mohd Tamin Zainal (BN-UMNO-Pantai Manis) sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Industri.
ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih (PN-BERSATU) dan Mohd Hamsan Awang Supian (BN-UMNO-Sungai Sibuga) pula dilantik sebagai Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II.
Sementara itu, Samad Jambri (PN-BERSATU-Labuk) dan Harun Durabi (BN-UMNO-Bengkoka) dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, manakala Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Selebihnya, Datuk Julita Mojungki (PBS-Matunggong) dan Flovia Ng (PN-STAR-Tulid) sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat; Datuk Ruddy Awah (Bebas-Pitas) sebagai Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-UMNO) Tanjung Batu sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan.
Turut dilantik ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baharu, Datuk Kadzim Yahya. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost