Sekatan Keluar, Masuk Sabah Bermula 12 Oktober Ini

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan dari Sabah dan ke Sabah membabitkan pergerakan dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula 12 Oktober hingga 25 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu seperti kecemasan, kematian atau perkhidmatan perlu (essential service).

“Individu yang mahu keluar dari Sabah perlu mendapatkan kebenaran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum melakukan perjalanan. Mereka juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi pergerakan masuk ke Sabah, Ismail Sabri berkata kebenaran hanya diberikan kepada rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H, pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas Imigresen sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di Sabah atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

“Selain itu, pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di Sabah, pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad atau pas pelajar daripada Jabatan Imigresen di Sabah.

“Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk negeri berkenaan,” katanya.

Kebenaran untuk memasuki Sabah turut diberikan kepada pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam pasport.

“Mereka hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan.

“Mereka yang juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing. Saringan COVID-19 oleh KKM turut dilaksanakan setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya.

Ismail Sabri berkata sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1671