Baki Menteri Kabinet Sabah Dijangka Angkat Sumpah Minggu Ini – Bung Moktar

Bung Moktar

KOTA KINABALU: Beberapa lagi portfolio menteri Kabinet Sabah dijangka dapat diumumkan minggu ini dengan majlis angkat sumpah dirancang pada Khamis, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, senarai ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dicalonkan untuk diangkat memegang beberapa portfolio menteri sudah diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

“Senarai tersebut melibatkan senarai daripada parti-parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Untuk Barisan Nasional (BN) kita telah serahkan dan kita mungkin akan ketahui portfolio menteri-menteri esok kerana jangkaan majlis angkat sumpah adalah pada Khamis ini.

“Apa pun semua itu termasuk tarikh angkat sumpah perlu mendapat perkenan daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin,” Katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Mengulas perkembangan semasa banjir yang melibatkan beberapa daerah di negeri itu, Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menjelaskan beliau akan melakukan tinjauan di kawasan terjejas esok.

“Saya akan melawat kawasan-kawasan terjejas termasuk di kawasan jambatan runtuh.

“Isu jambatan runtuh di Kampung Melangkap, saya ingin maklumkan bahawa jambatan ini masih lagi dalam seliaan kontraktor.

“Justeru itu saya meminta orang ramai jangan terlalu bimbang kerana kontraktor akan melakukan kerja baik pulih jambatan dengan segera demi keselesaan penduduk dan pengguna,” katanya.

Sehingga jam 4 petang Selasa, 341 orang mangsa banjir ditempatkan di enam buah pusat pemindahan sementara di kawasan terjejas banjir di Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *