Dua Beranak Cedera Dalam Pergaduhan Di Pasar Malam Keningau

Rakaman pergaduhan di pasar malam di daerah Keningau malam tadi. – Gambar Media Sosial

KENINGAU: Dua beranak cedera di kepala dan perut dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki di pasar malam di daerah ini, malam tadi.

Kejadian jam 7.30 malam itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham dua beranak terbabit dengan seorang lelaki sebelum rakannya masuk campur dan tercetus pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, bertindak atas laporan, sepasukan polis menjalankan siasatan dan menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan pada malam kejadian di sekitar pekan Keningau.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu akibat perselisihan faham dua beranak dengan seorang lelaki hingga tercetusnya pergaduhan itu.

“Dua beranak terbabit cedera di kepala dan perut dipercayai dipukul menggunakan objek keras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan kemungkinan ada tangkapan lain dilakukan.

“Siasatan masih diteruskan dan beberapa individu sudah dikenal pasti terbabit dalam kejadian itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi empat minit 38 saat yang tular di Facebook sejak pagi tadi menunjukkan dua beranak terbabit bergaduh dengan sekumpulan lelaki sambil membaling barang di kawasan pasar malam berkenaan.

Kejadian turut menunjukkan barang jualan di pasar malam bertaburan dan beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan dilihat membantu dan meleraikan keadaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

13903