Pendidik Mohon Laluan Utama Ke Empat Buah Sekolah Di Pensiangan Dinaik Taraf

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 4 Okt: Seorang warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan di daerah Nabawan, berharap laluan utama bagi guru-guru yang mengajar di empat buah sekolah di zon lima itu dapat dinaik taraf bagi memudahkan perhubungan murid selain penduduk di kawasan itu.

Ini kerana laluan berkenaan bukan sahaja tanah merah tetapi juga membahayakan nyawa pengguna kerana lubang di jalan raya itu tidak dapat dilihat apatah lagi apabila melalui kawasan berbukit.

Berkongsi pengalamannya baru-baru ini, Callister George, 32, bersama seorang lagi guru, Nor Hazaarifa Ain Saimin, 31, melalui detik yang mencemaskan apabila tayar kanan bahagian depan kereta pacuan empat roda yang dipandunya masuk ke dalam lubang sedalam 1.83 meter. 

Callister berkata ketika itu mereka sudah berada 25 kilometer (km) dari kawasan sekolah dan jam menunjukkan 12 tengah malam selepas bertolak dari sekolah pada 6 petang, Jumaat lepas.

“Kawasan itu gelap dan berbukit, saya terpaksa tekan minyak kereta dan tidak sangka di sebalik bukit itu ada lubang. Akibatnya, kepala cikgu Nor Hazaarifa Ain terhantuk pada cermin depan kereta dan cermin itu retak.

“Ada salah faham sebenarnya apabila kami dimaklumkan ada sekatan keluar dan kami terpaksa keluar untuk membeli barang keperluan asas kerana bekalan makanan hanya cukup untuk seminggu dan kalau dua minggu tidak boleh keluar memang tiada makananlah kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Callister berkata beliau akan keluar dua minggu sekali ke Pekan Nabawan dan laluan berkenaan merupakan laluan utama kira-kira 60 guru yang mengajar di empat buah sekolah melibatkan hampir 200 murid sekolah iaitu SK Salinatan, SK Pekan Pensiangan, SK Sibanggali dan SK Saliliran.

Menurutnya jarak dari Salinatan ke Nabawan sejauh 197km dan 87km daripada laluan itu laluan berbatu, meredah Sungai Karilin dan tanah merah manakala jarak Nabawan dari Kota Kinabalu ialah sejauh 166km.

Jelasnya, apabila kenderaannya gagal dikeluarkan, mereka terpaksa meninggalkan kenderaan itu di situ dan berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung namun gagal sebelum memutuskan untuk mendaki Bukit Sapuak bagi mendapatkan talian Internet.

Selepas berjaya menghantar mesej memohon bantuan daripada pengawal di Kampung Salinatan, mereka kemudian berjalan kaki menuruni bukit itu sejauh 12km dan hanya mempunyai bekalan air mineral 500ml.

“Ketika itu jam sudah 4.30 pagi, hujan pun turun, kami tadah air hujan dan kerana terlalu penat kami terlelap sebelum terjaga sejam selepas itu,” kata guru lelaki itu yang telah mengajar hampir lima tahun di SK Salinatan.

Callister berkata tidak lama kemudian, bantuan tiba dan beliau terpaksa patah balik ke kenderaannya sebelum ditarik ke bengkel di Keningau manakala rakannya diberi rawatan lanjut di klinik berdekatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berharap jalan raya ke sekolah-sekolah di Pensiangan sekurang-kurangnya ditabur dengan batu kerikil.

Beliau berkata setiap kali waktu persekolahan dibuka, beliau sedih apabila guru-guru di sekolah itu berkongsi gambar mereka yang sedang menarik atau menolak kenderaan yang tidak dapat menaiki bukit yang licin selain berlubang.

“Saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pegawai-pegawai daerah yang telah membaiki jambatan gantung yang menjadi laluan utama murid ke sekolah di luar bandar dan pedalaman.

“Oleh itu, besar harapan saya agar masalah jalan raya di Pensiangan juga mendapat perhatian yang sama demi kemajuan pendidikan di negeri Sabah. Jika guru tersangkut di tengah jalan, murid tidak mempunyai guru di bilik darjah,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *