Tambah Anggota, Aset Op Benteng Di Sabah

Perairan dalam kawasan keselamatan khas ESSCOM.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menambah keanggotaan, aset keselamatan dan memperkasa kawalan di perairan Sabah melalui Operasi Benteng, bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

“Pada awalnya kes Covid-19 di Sabah berpunca daripada kemasukan Pati, jadi mesyuarat khas pagi ini bersetuju menambah anggota dan aset sama ada daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), begitu juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Ia bagi memperkasakan dan menambah ketat lagi kawalan di Pantai Timur Sabah supaya dapat halang kemasukan Pati, khususnya melalui lorong tikus.

“Saya tahu Pantai Timur Sabah ini panjang dan luas serta banyak pulau jadi transit Pati, maka perlu ditambah aset dan anggota untuk kawalan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas MKN berkenaan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi Pati yang ditahan kerana tiada dokumen perjalanan sah, mereka akan ditempatkan di depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia sekali gus menjalani kuarantin.

“(Tapi) Difahamkan ada mereka ditahan yang punyai kad pengenalan, cuma kita tidak bebaskan mereka, walaupun tak boleh menahan mereka, sebaliknya mereka diletakkan di pusat kuarantin selama 14 hari.

“Keputusan ini dibuat kerana kes meningkat dan kemasukan Pati telah menyebabkan penularan Covid-19 (dalam negara),” katanya.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) anak kapal, beliau menjelaskan ujian calitan perlu dilaksana untuk mereka yang memulakan pelayaran.

Katanya, anak kapal diperlukan menjalani kuarantin 14 hari sekiranya keputusan saringan negatif Covid-19, manakala jika positif, mereka akan dihantar terus ke hospital untuk rawatan.

“Bagi anak kapal yang ‘sign off'(daftar keluar tugas), mereka hanya perlu jalani ujian saringan dan tidak perlu kuarantin wajib sekiranya kapal hanya berlayar di perairan Malaysia dan tidak ke mana-mana serta sudah berada di laut lebih 14 hari.

“Anak kapal akan diiring turun dan terus ke lapangan terbang dan menaiki pesawat pulang ke negara asal.

“Bagaimanapun sekiranya kapal ada singgah di pelabuhan lain atau datang dari luar Malaysia, maka perlu jalani ujian calitan dan kuarantin wajib 14 hari,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *