Rakyat, Kerajaan Perlu Bekerjasama Sebagai Satu Pasukan – Juhar

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin memotong kek sambil diperhatikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Bung Moktar Radin (kiri) sempena sambutan hari lahir ke-67 Yang di-Pertua Negeri, hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Rakyat dan kerajaan Sabah perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memacu ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan COVID-19, kata Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan usaha yang dilaksanakan berkesan selain kebajikan rakyat dapat dijaga dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa pandemik terbabit.

“Saya menyambut baik usaha dilaksana kerajaan dalam menangani COVID-19 dan langkah diambil bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Negeri Sabah di Istana Negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor bersama isteri, Datin Juliah Salag serta ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Pada majlis itu, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah dianugerahkan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, mendahului senarai 17 individu yang menerima anugerah, semalam.

Penerima lain pada istiadat penganugerahan sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang di-Pertua Negara adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong yang turut menerima SPDK.

Sembilan penerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor.

Empat menerima Jaksa Pendamai (JP), iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam negeri, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai; Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Mairin Idang dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Cina Sabah, Tan Kok Jyh.

Mereka adalah antara 679 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Sementara itu, Juhar turut meminta semua pihak agar memanfaatkan teknologi, khususnya platform dalam talian bagi kelangsungan ekonomi rakyat dan mengambil kira keterbatasan pergerakan akibat penularan COVID-19.

Beliau juga mahu rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard bagi mengekang penularan pandemik itu.

“Kita semua tiada pilihan untuk meneruskan kehidupan dalam norma baharu. Justeru kita perlu memiliki jiwa yang kental bagi terus berusaha gigih dan tidak mudah mengalah terutama ketika menghadapi ancaman serta cabaran,” katanya.

Juhar turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dan melahirkan keyakinan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah itu akan dapat menghadapi pelbagai cabaran bagi memajukan negeri. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1188