KKM Jangka Kes Dikesan Di Sabah Akan Meningkat

Petugas KKM Wilayah Persekutuan Labuan melakukan ujian swab COVID-19 kepada penumpang yang baru tiba dari Sabah di Hospital Labuan, hari ini. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Bilangan jangkitan baharu kes COVID-19 di empat daerah di Sabah yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar dan Kedah dijangka meningkat dalam tempoh sehingga dua minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jangkaan itu susulan aktiviti pengesanan aktif kontak dilakukan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di kedua-dua negeri terbabit.

Sehubungan itu, katanya, tahap kesiapsiagaan KKM adalah lebih tinggi berbanding tempoh permulaan penularan COVID-19 di negara ini, selain mempunyai kemampuan mencukupi untuk berdepan pandemik terbabit.

“Aktiviti pengesanan sedang dijalankan di lapangan dan kita dapati peningkatan kes akan tertumpu di kawasan terbabit. Kita jangka (kes) akan meningkat dalam tempoh satu atau dua minggu ini.

“Bagaimanapun, kes jangkitan COVID-19 bagi Kluster Benteng di Sabah dan Kluster Tembok di Kedah adalah terkawal kerana kebanyakan mereka dikurung di penjara dan pusat tahanan.

“Kita juga akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai di penjara bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19 di pusat tahanan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya yakin dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 melalui kaedah kesihatan awam, berpandukan kejayaan menamatkan 101 kluster, sebelum ini.

“Ini kaedah terbaik dalam mengawal jangkitan memandangkan vaksin belum ditemui. Musuh kita sama, jangan salahkan satu sama lain. Kerjasama padu semua pihak diperlukan.

“Kita mampu melandaikan lengkuk gelombang ketiga sekali lagi seperti sebelum ini, jika mengamalkan kaedah kesihatan awam,” katanya.

Mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan murid di sekolah, beliau berkata, tiada cadangan penutupan premis berkenaan disyorkan kepada Kementerian Pendidikan, setakat ini.

“Kalau sekolah terbabit ada jangkitan, baru kita akan syorkan supaya penutupan sekolah dibuat. Bagaimanapun, pihak sekolah perlu berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dalam menjalankan sebarang aktiviti,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *