17 Individu Terima Darjah Kebesaran, Pingat Daripada Tun Juhar Hari Ini

KOTA KINABALU, 3 Okt: Seramai 17 orang dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri sempena Hari Jadi Rasminya Ke-67, di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima ialah Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.

Penerima pingat sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong.

Dalam istiadat pengurniaan itu, Juhar turut menganugerahkan pingat kepada sembilan penerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk antaranya Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor.

Sementara itu, empat penerima bagi pingat Jaksa Pendamai (JP) ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Mairin Idang dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Cina Sabah Tan Kok Jyh.

Istana Negeri Sabah menerusi kenyataan di sini semalam memaklumkan mereka adalah antara 679 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Majlis itu turut dihadiri oleh isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan isteri Datin Juliah Salag, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah selain Jeffrey iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan II Sabah Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1175