IPD Penampang Cukup Anggota Laksana SJR Larangan Rentas Daerah

PENAMPANG: Keanggotaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mencukupi sepanjang penugasan sekatan jalan raya (SJR) Larangan Rentas Daerah bermula hari ini hingga 16 Oktober depan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan kekurangan anggota setakat ini.

“SJR kali ini hanya membabit satu lokasi sahaja iaitu Jalan Lok Kawi-Penampang.

“Kekuatan bagi penugasan dalam satu masa membabitkan lima keanggotaan terdiri seorang penyelia dan empat anggota.

“Oleh itu, kita melihat bilangan anggota yang ada sekarang masih mencukupi untuk menjalankan tugas bagi tempoh dua minggu.

“IPD Penampang sentiasa bersedia dalam menjalankan tugas ini berikutan kita sudah pernah menjalankan tugas sama pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada bulan Mac tahun ini,” katanya ketika ditemui media di lokasi SJR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penugasan itu, Mohd Haris menyatakan SJR di lokasi terbabit akan dijalankan selama 24 jam seperti yang diarahkan pucuk pimpinan.

Menurut beliau, perkara utama yang ditekankan dalam penugasan berkenaan adalah menasihatkan pengguna jalan raya bagi mengurangkan pergerakan untuk tempoh dua minggu dinyatakan kerajaan.

“Kalau boleh duduklah di rumah sahaja sekiranya tiada sebarang urusan penting.

“Hal ini kerana tujuan utama kerajaan mengadakan sekatan rentas daerah ini adalah untuk memutuskan rantai wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, kita juga mengingatkan orang awam yang memerlukan rentas daerah bagi tujuan kerja agar mendapatkan surat daripada majikan masing-masing selain kebenaran polis untuk tujuan kecemasan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *