Pelantikan Tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah Tidak Langgar Perlembagaan – Shamrahayu

Shamrahayu berkata, kebiasaannya keputusan untuk mempunyai Timbalan Ketua Menteri adalah keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri.

KUALA LUMPUR: Pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri bagi Kerajaan Negeri Sabah tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan negeri itu, kata pakar Perlembagaan Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara itu berkata kebiasaannya keputusan untuk mempunyai Timbalan Ketua Menteri adalah keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri.

Katanya dalam Perlembagaan juga tidak dinyatakan mengenai jumlah khusus untuk jawatan Timbalan Menteri atau Timbalan Ketua Menteri, dan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan cuma pelantikan Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Kerajaan Baharu Negeri Sabah 2020’ terbitan Bernama TV di sini malam ini, ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh hos program itu, Sherkawi Jirim sama ada pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri itu boleh dilakukan dan mengikut Perlembagaan negeri Sabah.

“Kalau kita lihat dalam Kerajaan Persekutuan sekarang ini, kita tidak namakan Timbalan Perdana Menteri, tetapi Perdana Menteri menamakan Menteri Kanan daripada pelbagai parti politik. Saya rasa menggunakan sifir yang sama dan ia tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan negeri Sabah,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut mengangkat sumpah di Istana Negeri Sabah di sini hari ini tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga ADUN Lamag, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan (ADUN Tambunan), dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Joachim Gunsalam (ADUN Kundasang). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1897