Masidi, Joniston, Pilihan Industri Untuk Menteri Pelancongan Sabah

Masidi Manjun (kiri) dan Joniston Bangkuai mahir dalam industri pelancongan, kata Alexander Yee.

KOTA KINABALU: Pemain dalam industri pelancongan Sabah memberi pandangan tentang pilihan mereka untuk jawatan menteri pelancongan negeri itu, mengesyorkan tindakan segera untuk menghidupkan semula sektor yang akan terjejas selepas perintah kawalan pergerakan bersasar (PKPB) berkuatkuasa.

Kawalan berkuatkuasa di Lahad Datu, Tawau, Kunak, dan Semporna sehingga 12 Okt, ketika pengusaha pelancongan sedang memulih dari daripada sekatan perjalanan sebelum ini.

PKPB melarang keluar masuk ke satu-satu kawasan bagi mengekang penyebaran virus.

Alexander Yee, presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA), berkata pelantikan ke Kabinet kerajaan negeri baharu akan memainkan peranan besar dalam menentukan keadaan bagi pengusaha pelancongan Sabah.

“Kita tidak tahu sama ada orang yang akan dilantik itu arif tentang industri atau tidak.

“ada 2 individu yang arif tentang industri pelancongan. Masidi Manjun, iaitu menteri pelancongan sebelum ini, dan Joniston Bangkuai, pengerusi lembaga pelancongan Sabah,” katanya.

Yee berkata ia amat sukar bagi seorang menteri yang tiada pengalaman tentang pelancongan, situasi yang hanya akan memanjangkan lagi masalah sedia ada sehingga 2021 kerana orang itu perlu belajar tentang industri itu.

Pengerusi Persatuan Pelancong Sabah, Tony Chew, berkata pengusaha sangat bergantung pada program subsidi upah dan berharap bantuan itu akan berterusan.

“Pendapatan mereka turun 80% sehingga 90% dan oleh kerana ini, mereka tidak dapat menampung pekerja dan terpaksa memotong tenaga kerja untuk terus bertahan.

“Subsidi upah paling penting, kerana gaji salah satu kos yang besar bagi kebanyakan syarikat pelancongan.”

Chew juga berharap skim sama seperti Prihatin pusingan ke-2, yang menyediakan pinjaman khas untuk sektor pelancongan, akan diperkenalkan kerana ia menawarkan talian hayat kepada syarikat yang sukar memohon wang daripada bank kerana dianggap peminjam berisiko tinggi.

“Bantuan kerajaan penting untuk membantu pengusaha pelancongan. Industri ini salah satu yang paling teruk terjejas akibat pandemik ini dan kita menjangkakan ia akan mengambil masa yang lama untuk pulih,” katanya.

Yee memberi gambaran yang suram sekiranya kerajaan negeri tidak melakukan pengubahsuaian yang perlu.

“Keadaan tidak akan normal pada 13 hari bulan (PKPB tamat). Orang ramai akan tunggu dan lihat dan hanya apabila keadaan nampak selamat barulah orang akan membuat tempahan, dan itu pun mungkin selepas sebulan,” katanya.

Katanya, setiap kelewatan kerajaan dalam membuat keputusan akan membahayakan pengusaha pelancongan.

“2020 merupakan tahun yang sukar. Anda tak untung, anda tak raih lebih banyak wang berbanding tahun lepas, anda hanya cuba bertahan,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

881