GRS Bincang Ketiadaan Wakil Cina Dalam Kabinet

Sidang media Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor bersama dengan tiga Timbalan Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.- Foto Jabatan Penerangan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu negeri Sabah akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

“Kita akan melihat perkara itu sebab kita ada lagi lima menteri yang akan mengangkat sumpah.

“Itu kita akan bincang dengan rakan dalam PN, BN dan PBS. Kita buat yang terbaik untuk mentadbir negeri Sabah ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan pimpinannya akan mewujudkan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik untuk membolehkan masyarakat Cina dan minoriti dibawa masuk dalam Kabinet beliau.

Berdasarkan kebiasaan, Sabah memiliki tiga Timbalan Ketua Menteri, masing-masing mewakili Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina.

Bagaimanapun, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi kerjasama PN, BN dan PBS tidak memiliki ADUN mewakili masyarakat Cina selepas semua calonnya kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pada PRN itu, GRS meletakkan calon BN daripada MCA, calon PN daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan calon Cina daripada PBS di kerusi majoriti Cina, namun semuanya kalah di tangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakan sekutunya.

Antara kerusi majoriti Cina itu ialah Api-Api yang ditandingi calon PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai; calon MCA, Lu Yen Tung (Kapayan) dan Dr Chang Kee Ying (Likas) selain calon SAPP di Luyang dan Tanjung Papat.

Semua kerusi majoriti Cina disapu bersih WARISAN Plus dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keadaan sama turut berlaku ketika kerajaan BN pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman membentuk kerajaan dengan kerjasama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, sebelum diambil alih WARISAN. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6460