Covid-19: 101 Kes Baharu, Sabah Catat Kes Tertinggi

Dr Noor Hisham -Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara mencatatkan 101 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 11,135 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, empat kes import mendapat jangkitan di luar negara dan bakinya 97 kes penularan tempatan.

Beliau berkata, kes import membabitkan seorang individu warga negara dan tiga individu bukan warga negara.

“Bagi 97 kes penularan tempatan, sebanyak 93 kes membabitkan warga negara manakala empat bukan warga negara.

“Kes baharu Covid-19 hari ini mendapati Sabah kekal tertinggi iaitu 70 kes, Selangor (13 kes), Johor (tiga kes) dan masing-masing satu kes di Kelantan, Perak, Melaka, Perlis, Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 50 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 9,939 kes iaitu 89.3 peratus.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 1,062 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, 13 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima kes yang memerlukan bantuan pernafasan dan tiada kematian dilaporkan hari ini,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *