Caj RM10 Keluar Masuk Malaysia-Brunei Bakal Dikenakan

LAWAS: Berkuat kuasa 1 Oktober 2020, setiap warganegara Malaysia yang hendak memasuki Brunei Darussalam melalui pintu sempadannya yang terletak di antara Sarawak-Brunei bakal dikenakan caj RM10.

Langkah itu diambil oleh Kerajaan Brunei bagi mengehadkan jumlah kemasukan warganegara lain ke negara berkenaan susulan pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak bersama kerajaan pusat sedang melihat peluang untuk berunding dengan negara jiran berkenaan khususnya dari segi pembayaran.

Ini kerana ia memberi kesan terutama buat rakyat yang sering berulang alik ke negara itu atas urusan harian.

“Kita menghormati dan akur dengan keputusan dari Kerajaan Brunei Darussalam.

“Namun demikian, kita akan terus berunding untuk mencari jalan bagi mod pembayaran.

Perkara ini akan melibatkan rundingan kerajaan pusat kerana ia adalah perihal antara dua negara,” katanya.

Tambah Abang Johari, beliau telah mengusulkan perkara berkenaan kepada Menteri Kanan merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mencari jalan penyelesaian ke atas perkara tersebut.

Ujarnya, dia tidak mahu jumlah pembayaran berkenaan membebankan masyarakat terutama mereka yang tinggal di sepanjang kawasan Limbang dan Lawas serta Miri yang perlu berulang alik ke Brunei.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri perasmian Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei di Lawas pada Selasa.

Bagi penduduk Limbang sendiri, Mohd Fikri Jamal, prosedur baharu keluar masuk ke negara jiran itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat dari sudut kewangan.

“Bayaran RM10 yang dikenakan sedikit membebankan terutama buat mereka yang perlu berulang alik dari Lawas ke Brunei.

“Saya berharap, kerajaan terus meneliti perkara ini,” katanya.

Untuk makluman, pergerakan jalan darat di kawasan utara Sarawak perlu melalui Brunei, menerusi pintu sempadan di Sungai Tujuh, Miri, Tedungan, Jalan Hujung di Limbang dan Labu di Lawas. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1609