PKPDB Di Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna

Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, di Sabah sehingga 12 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyaaan sebentar tadi menyebut PKPDB di empat daerah terbabit akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini membabitkan seramai 962,661 penduduk.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan COVID-19 di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September (semalam).

Daripada jumlah itu Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

“Mengambil kira jumlah kes terbabit, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPDB secara pentadbiran di kawasan-kawasan ini.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya.

Susulan pelaksanaan langkah kawalan berkenaan, Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB berkenaan sepanjang tempoh perintah berkuat kuasa.

Katanya, individu bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terbabit, selain semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis yang menjual barangan keperluan dan perkhidmatan asas.

“Pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPDB itu. Semua laluan keluar masuk kawasan ke kawasan PKPDB ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terbabit,” katanya.

Beliau meminta penduduk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas daripada KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah seperti berikut, Lahad Datu (089-881255), Tawau (089-752222), Kunak (089-851222) dan Semporna (089-782020).- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *