Hajiji Pilihan Tepat Sebagai Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan keputusan memilih Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 adalah paling tepat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu selari dengan cadangan dan pendirian PBS ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Beliau berkata, PBS yakin dengan sokongan ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji dapat melaksanakan tugasnya dengan baik berdasarkan pengalaman sebagai bekas anggota Kabinet negeri dan wakil rakyat selama tujuh penggal.

“PBS juga percaya Hajiji dapat menunaikan mandat yang diberi rakyat dan memimpin Sabah sebagai Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata PBS akan bekerjasama rapat dengan Hajiji dan memberikan sepenuh sokongan kepada beliau untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

“Kita yakin menerusi pembentukan kerajaan baharu di bawah GRS, kita dapat mencipta pencapaian dan rekod baharu yang boleh dibanggakan,” katanya.

Pada sidang media tengah hari tadi, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengumumkan beliau disokong sebulat suara oleh wakil rakyat GRS untuk memegang jawatan berkenaan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1956