2 Lagi Kluster Baharu Covid-19 Di Sabah

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 3 kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, 2 di Sabah iaitu kluster Buang Sayang dan Kampung Sakong manakala 1 lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu kluster Setapak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Buang Sayang dikenalpasti di Sipitang dan kes indeks bagi adalah kes ke-10,265 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang dari 7 September hingga 20 September lalu.

“Kes mula mengalami gejala demam, selesema dan sakit tekak pada 19 September dan kemudian dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Saringan Covid-19 didapati positif pada 20 September dan kes sudah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan. Sehingga 27 September, jam 12 tengah hari, seramai 10 individu sudah disaring, di mana 4 dikesan positif dan 6 lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster Kampung Sakong pula, ia dikenal pasti di Semporna dan kes indeks merupakan kes ke-10,154.

Menurut Noor Hisham, kes dikesan positif Covid-19 pada 18 September melalui saringan komuniti, kes tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan. Sehingga 27 September, jam 12 tengah hari, seramai 66 individu sudah disaring, di mana 9 kes dikesan positif Covid-19 dan 57 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Manakala, bagi kluster Setapak pula, kes indeks kluster merupakan kes ke-10,689, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna dari 17 September hingga 20 September.

Noor Hisham berkata, kes mula mengalami demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 September dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada 25 September, di mana saringan Covid-19 didapati positif pada hari sama.

“Dua lagi kes positif dikesan adalah rakan serumah iaitu kes ke-10,770 dan rakan iaitu kes ke-10,771 kepada kes indeks. Mereka turut dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan.

“Sehingga 27 September, jam 12 tengah hari, seramai 20 individu sudah disaring, di mana 3 kes dikesan positif Covid-19, 16 individu dikesan negatif dan 1 masih menunggu keputusan,” katanya.

Katanya, langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sedang dijalankan di semua lokasi dikenal pasti bagi semua kluster berkenaan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *