PRN SABAH: Lebih 2,500 Saluran Mengundi Dibuka Mulai 7.30 Pagi Ini

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baru. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baru pada pilihan raya negeri (PRN) ke-16.

Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa, akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pada sebelah pagi diramal hujan di 1-2 tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan, manakala ribut petir di 1-2 tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah petang.

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19 terutama di Sabah yang saban hari menyaksikan peningkatan kes positif baru virus itu, seramai 1,594 petugas kesihatan turut ditempatkan di pusat mengundi di seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali pula meminta orang ramai agar keluar mengundi tanpa sebarang keraguan dan pihaknya memberi jaminan proses PRN Sabah akan berjalan lancar.

PRN kali ini diadakan selepas Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *