Covid-19: Mulai Esok Individu Pulang Dari Sabah Akan Dikuarantin

Kuala Lumpur: Semua individu yang pulang dari Sabah akan menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa bermula esok sehingga 10 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu berkenaan.

“Mereka diwajibkan untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan.

“Mereka juga akan menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 sejurus tiba di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semua individu di Pintu Masuk Antarabangsa akan diberi surat HSO, dan dipakaikan gelang kuarantin.

“Tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk sehingga keputusan makmal diperolehi. Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19.

“Sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan khidmat e-hailing, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya individu berkenaan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu berkenaan perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

“Saringan ke atas individu (warga negara dan bukan warga negara) yang pulang dari Sabah ini dikecualikan daripada caj ujian Covid-19.

“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa berkenaan dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2781