Covid-19: KKM Sasar Saring 30,000 Individu Di Tawau, Lahad Datu

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata pihaknya menyasarkan 30,000 individu disaring berikutan penularan wabak Covid-19 dalam komuniti di kedua-dua kawasan berkenaan.

TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan saringan Covid-19 dalam komuniti secara besar-besaran melibatkan 2 daerah di Sabah iaitu Tawau dan Lahad Datu.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, pihaknya menyasarkan 30,000 individu disaring berikutan penularan wabak tersebut dalam komuniti di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Kita laksanakan saringan ini kerana berlaku penularan dalam komuniti selain di penjara atau lokap.

“Setakat ini, KKM menyaring 10,389 individu di Lahad Datu, Tawau serta Sandakan membabitkan kluster Benteng, selain saringan terhadap 128 individu berkaitan kluster Udin di Tawau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Tawau hari ini.

Dalam pada itu, Adham berkata KKM juga akan membuat saringan Covid-19 di Semporna dan penilaian risiko sedang dijalankan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, setakat ini terdapat 1,337 individu disaring di Semporna membabitkan kluster Pulau, Bangau-Bangau, Selamat dan kluster Bakau.

Ditanya mengenai keperluan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di zon merah melibatkan Tawau, Lahad Datu, Kunak serta Semporna, Adham berkata KKM melaksanakan penilaian risiko secara berterusan kerana Covid-19 menular dalam komuniti dan keperluan berkaitan itu akan diumum dalam masa terdekat.

“Setakat ini, mencukupi dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Adham berkata sebanyak 29 mesin ventilator tambahan dihantar ke Sabah untuk keperluan pesakit Covid-19.

“Ketika ini hanya seorang pesakit Covid-19 di Sabah menggunakan mesin ini namun kita hantar sebagai memastikan kesiapsiagaan kita untuk negeri ini,” katanya.

Berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, beliau menyarankan pengundi merujuk kepada portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan maklumat berkaitan SOP pada hari pengundian tersebut.

Beliau berkata, pengundi yang dikuarantin tetapi ingin mengundi boleh memohon surat kebenaran daripada Pejabat Kesihatan Daerah atau merujuk portal SPR.

Dalam pada itu, Adham berkata KKM akan menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Pendidikan berhubung kebimbangan ibu bapa mengenai keperluan anak-anak ke sekolah di kawasan zon merah.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1605