Positif Covid-19 Selepas Pulang Bercuti Di Kundasang

Keindahan Gunung Kinabalu dapat dilihat dengan jelas di Pekan Kundasang.

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan seorang individu yang didapati positif Covid-19, selepas pulang bercuti dari Kundasang, Sabah.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, lelaki berusia 49 tahun itu mempunyai sejarah bercuti di Kota Kinabalu dan Kundasang, Sabah pada 19 hingga 22 September lalu.

Katanya, kes berkenaan dikesan semasa saringan dilakukan terhadap individu berkenaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

“Kes ini tidak mempunyai gejala dan dimasukkan ke Hospital Tumpat, semalam. Justeru, seramai 48 kontak rapat sudah dikenal pasti termasuk kontak dalam kalangan keluarga, kawan, tempat kerja dan dalam pesawat.

“Kontak berkenaan dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Aktiviti kawalan dan siasatan lanjut punca jangkitan sedang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dr Zaini berkata, sehingga hari ini sebanyak 161 kes disahkan positif Covid-19 di Kelantan termasuk tiga kematian.

Beliau berkata, situasi semasa Covid-19 di Kelantan masih terkawal dan masyarakat diminta supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan sentiasa mematuhi SOP.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *