PETALING JAYA: Polis hari ini menerima 46 laporan polis berhubung kenyataan pemimpin Warisan, Mohamaddin Ketapi, berkait dakwaan pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, dan pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, berkata setakat 5 petang tadi sebanyak 46 laporan diterima dari seluruh negara.
“Setakat ini kita masih belum panggil lagi (Mohamaddin). Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya hari ini.
Terdahulu, Mohamaddin nafi memperkecilkan pasukan keselamatan yang mempertahankan negara semasa pencerobohan Lahad Datu, mendakwa kenyataannya dipesongkan dan diambil di luar konteks.
Katanya, beliau sama sekali tidak menghina pasukan keselamatan yang mengorbankan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara, tetapi hanya mahu menunjukkan kegagalan kerajaan BN menambah baik aset pertahanan bagi menghalang insiden sebegitu berlaku lagi.
Menerusi video kira-kira 2 minit, Mohamaddin mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, dan pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”.
Pada 11 Feb 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan, dan 6 orang awam.
Presiden Warisan, Shafie Apdal, memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat atas kenyataan Mohamaddin itu, mengatakan ia dikeluarkan secara spontan dan tidak berniat untuk menghina.- FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost