Pasar Malam, Tamu Dilapan Daerah Ditutup Akibat Covid-19

KOTA KINABALU: Operasi tamu, pasar malam, pasar tani, gerai dan pasar borong milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditutup buat sementara waktu di lapan daerah terjejas akibat peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Penutupan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Pusat Arahan Covid-19 pada 20 September, kata Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masnah Mat Salleh.

MASNAH MAT SALLEH

Beliau berkata, lapan daerah itu adalah kawasan tamu dan pasar di Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kudat, Pitas, Beaufort, Sipitang dan Tongod.

Manakala bagi pasar harian milik PBT, tempoh operasi dipendekkan bermula 6 pagi hingga 2 petang.

Turut ditutup adalah taman-taman awam milik PBT.

Bagi operasi premis makanan dan restoran, masa operasi dihadkan dari 6 pagi sehingga 6 petang sahaja.

Pelanggan yang ‘dine in’ turut dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan, susun atur antara meja dengan jarak dua meter.

Menurutnya, PBT hendaklah menjalankan pemantauan bagi memastikan pematuhan SOP dipatuhi oleh pengusaha dan orang awam.

Bagi premis dan pusat-pusat hiburan juga, masa operasi dihadkan sehingga 10 malam setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum.

Pelaksanaan penutupan dan perubahan masa ini berkuatkuasa serta merta sehingga dimaklumkan kelak.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2793