Lelaki, Teman Wanita, Tiga Rakan Dicekup Semasa Leka Bungkus Dadah

Habibi menunjukkan rampasan syabu yang dirampas semasa serbuan di sebuah kondominium di Telipok.

KOTA KINABALU: Kegiatan lima individu mengedar dadah di sekitar Inanam dan Manggatal membawa padah apabila berjaya dikesan sebelum ditahan sepasukan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Telipok.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kelima-lima suspek termasuk wanita ditahan semasa sedang leka membungkus syabu di rumah terbabit jam 3 petang pada 13 September lalu.

 Syabu dan ganja bernilai RM21,146 yang dirampas semasa penahanan suspek.
SYABU: Syabu dan ganja bernilai RM21,146 yang dirampas semasa penahanan suspek.

“Semasa diserbu terdapat lima individu di dalam rumah terbabit termasuk seorang wanita berumur 22 hingga 40 tahun.

“Pasukan serbuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu turut merampas 66 paket syabu seberat 211.03 gram dan 0.85 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM21,146 pada harga pasaran tempatan.

“Turut dirampas ialah beberapa barangan serta peralatan yang digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati rumah yang diserbu digunakan sebagai tempat untuk membungkus dadah dan rumah itu dipilih untuk mengaburi mata pihak berkuasa, pelanggan juga akan datang ke rumah itu untuk mendapatkan sendiri bekalan dadah serta suspek juga menyediakan perkhidmatan untuk menagih dadah di rumah berkenaan.

“Suspek akan mendapatkan bekalan dari pengedar utama di luar sebelum membungkusnya dalam kuantiti tertentu dan akan dijual dengan harga bermula RM50 bagi sepaket dadah.

“Kumpulan ini yang dikesan aktif sejak awal tahun lalu adalah sebagai pengedar kecil-kecilan yang aktif di kawasan Inanam dan Manggatal dan kesemua yang ditahan berperanan sebagai pembungkus yang mendapat upah sebanyak RM250 sehari,” katanya sambil menambah wanita yang ditahan adalah teman wanita kepada salah seorang suspek dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Habibi berkata, suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *