PRN Sabah: UPKO Yakin Beri Kemenangan Majoriti

Barisan calon-calon UPKO yang akan bertanding dalam PRN ke-16.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yakin untuk menggalas tanggungjawab memberikan kemenangan majoriti untuk 12 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding di Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 26 September ini.

Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata jumlah kerusi bukan menjadi isu tapi sebaliknya kemenangan mutlak untuk kerusi yang ditandingi.

“Apa yang penting bukan jumlah kerusi yang kita akan bertanding tapi jumlah kerusi yang akan menang. Walaupun kita sudah meminta lebih banyak kerusi tapi kita faham yang kita ada empat parti yang bergabung dalam Warisan Plus.

Madius menjelaskan bahawa jumlah kerusi yang mereka peroleh adalah dua kali ganda lebih banyak daripada jumlah kerusi yang mereka bertanding semasa menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut Madius selain daripada beliau yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N15 Kiulu dan Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang kekal bertanding di kerusi N11 Kadamaian,

10 calon-calon yang lain merupakan calon baharu.

“Inilah merupakan kali pertama saya bertanding sebagai ADUN. Saya turut gembira kerana UPKO juga turut menampilkan calon-calon baharu selain menampilkan calon wanita untuk pilihanraya kali ini ,” katanya.

Calon wanita tersebut merupakan Ketua Wanita UPKO Ranau, Georgina L. George yang akan bertanding di kerusi N38 Paginatan.

Turut dicalonkan adalah Datuk Dr Lucas Umbul (N43 Kemabong), Setiausaha Agung Nelson W. Angang (N 33 Kuala Penyu); Bendahari Agung Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (N 39 Tambunan) dan Ketua Pemuda UPKO Felix Jospeh Saang (N47 Telupid) juga antara yang terpilih sebagai calon PRN Sabah.

Daripada jumlah 12 kerusi itu, UPKO memperoleh dua daripada 13 kerusi DUN baharu, iaitu Bengkoka dan Telupid.

Namun begitu, Madius berkata bahawa dalam setiap perjuangan terdapat cabaran yang akan memberi kesan pada setiap parti.

“Tentunya akan ada banyak cubaan dan dugaan, tetapi kita sendiri kena bersatu padu jangan berpuak-puak dan dengki mendengki. Kita kena teruskan perjuangan dan berusaha bagi memastikan sokongan kita terus seiring dengan kehendak rakyat, selebihnya kita berserah kepada Tuhan yang Maha Esa,” katanya.

Dalam pada itu, Madius juga turut menekankan kerjasama bukan hanya perlu diperhebatkan dalam kalangan ahli-ahli UPKO sahaja malah haruslah menyeluruh melangkaui sokongan antara parti-parti kompenan dalam gabungan Warisan Plus.

“Ini amat diperlukan bagi merealisasikan perjuangan kita untuk mempertahankan hak-hak rakyat Sabah dan berpadu dalam kesatuan yang menjadi paksi dalam menghadapi cabaran pembangkang.

“Kunci kemenangan bermula daripada diri kita sendiri. Kesetiaan dan bersatu padu dalam parti sangat penting dalam merealisasikan perjuangan UPKO.

“Kepimpinan berlandaskan prinsip perlu disemai dalam diri kita. Kita harus fokus dalam memastikan kemenangan di semua kerusi yang kita bertanding,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *