Minyak Masak Onsoi Keluaran Keningau Jadi Kenyataan

KENINGAU: Onsoi, jenama minyak masak terbaharu keluaran Kerajaan Sabah yang ditunggu-tunggu kini menjadi realiti.

Terbinanya kilang pemprosesan minyak masak itu di Keningau menandakan satu lagi produk industri hiliran sawit berjaya dibangunkan dan turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Selain Onsoi, kilang yang dikendalikan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) turut mengeluarkan beras tempatan dikenali sebagai Sabaras.

Perasmian kilang pemprosesan Onsoi dan Sabaras itu disempurnakan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang merupakan pemimpin yang mengilhamkan agar agensi kerajaan negeri membina kilanh minyak masak di seluruh negeri untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Jadi ini kita yakin membolehkan peluang pekerjaan dapat kita sediakan juga untuk membolehkan supaya kalau peningkatan permintaan itu bukan hanya tempatan bahkan juga eksport ini akan sedikit sebanyak akan meningkatkan keupayaan kita untuk mengekalkan harga minyak kelapa sawit.

“Di samping itu supaya menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak di daerah tertentu contohnya di Tawau di Sandakan dan juga Keningau kerana di sini pun ada ladang kelapa sawit yang terbesar kalau ada usaha sebegini akan dapat membantu anak-anak tempatan dapat peluang pekerjaan di samping bangunkan daerah ini,” katanya.

Ketua Menteri berkata demikian dalam perasmian Kilang Pembungkusan Minyak Masak Onsoi Dan Beras Sabaras Sdn. Bhd. Serta Penyerahan Bantuan Pertanian di LKTNS Keningau hari ini.

Minyak Onsoi adalah minyak masak tempatan yang dikeluarkan agensi kerajaan selepas Bess di Tawau oleh Benta Wawasan dan Gold di Sandakan oleh Sawit Kinabalu.

Onsoi dipasarkan dalam pakej plastik serta botol bersaiz satu kilogram pada harga antara RM2.50 hingga RM5.

Tumpuan pemasarannya ialah di kawasan luar bandar kerana kebanyakan penduduk di situ suka membeli minyak di dalam plastik kerana lebih murah berbanding botol.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan akan memantau pemasaran setiap minyak masak yang telah dihasilkan untuk membolehkan perancangan dibuat bagi megembangkan lagi industri tersebut.

“Kita akan lihat daripada segi permintaan kita tidak mahu nanti terlebih pengeluaran setakat ini kerana kita perlu tembusi pasaran, kita kena pastikan pasaran dulu selepas itu kalau kita dapati pasaran cukup baik maka kita akan mula untuk tingkatkan lagi daripada segi jumlah kilang yang ada,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6605