KPM Tambah Baik, Perkasa Program Pendidikan Khas Di Sabah

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin ketika berucap pada Majlis Kupi-Kupi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau, Penampang hari ini – Foto BERNAMA


PENAMPANG: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi penekanan untuk menambah baik sekali gus memperkasakan lagi program pendidikan khas di Sabah termasuk menyediakan kepakaran dan infrastruktur lebih kondusif bagi pembelajaran murid-murid berkeperluan khas di negeri itu.

Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pembangunan pendidikan khas adalah antara komponen penting yang perlu diberi perhatian khusus dalam usaha membolehkan anak-anak berkeperluan khas mendapat pendidikan di sekolah.

“Ia adalah satu komponen penting. Masih banyak ruang untuk kita menambah baik program ini khususnya dalam menyediakan kepakaran dan infrastruktur untuk anak-anak ini diberi ruang mendapat pendidikan di sekolah dan akhirnya menjadi seorang insan berdikari dan boleh bersama-sama dalam masyarakat.

“Ini bagi memastikan mereka mendapat kehidupan selesa apabila meningkat dewasa kelak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kupi-Kupi bersama warga pendidik dan ibu bapa sekitar daerah ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Radzi turut menyampaikan replika cek bernilai RM6.6 juta bagi tujuan elaun murid berkeperluan khas 2020 – Fasa Dua (Julai – Disember 2020) untuk Sabah kepada Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin.

Pengetua SMK Tansau Rusmadi Ahmad turut menerima replika cek bernilai RM74,700 bagi tujuan elaun murid berkeperluan khas 2020 – Fasa 2 (Julai – Disember 2020) di sekolah berkenaan.

Semasa ditemui pemberita kemudiannya, Rusmadi mengucapkan terima kasih kepada KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas keprihatinan menyalurkan peruntukan elaun itu selain peruntukan RM200,000 bagi menaik taraf kelas pendidikan khas SMK Tansau.

Beliau berkata peruntukan itu membolehkan kerja-kerja menaik taraf bangunan kelas pendidikan khas di SMK Tansau, yang kini sedang dalam pembinaan, dapat dilakukan memandangkan sekolah ini mempunyai seramai 80 pelajar berkeperluan khas, jumlah paling ramai di Penampang.

“Justeru, suasana kelas yang kondusif serta sesuai dengan spesifikasi ditetapkan amat diperlukan untuk para pelajar terbabit,” katanya, sambil menambah, pembinaan kelas pendidikan khas di sekolah itu sebelum ini menggunakan sumbangan daripada orang ramai.

Program pendidikan khas di sekolah itu turut menawarkan pembelajaran kemahiran termasuk membuat roti dan pertanian, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

627