Sabah Tidak Perlu Bantuan Jika Persekutuan Tunai MA63

TUARAN: Sabah tidak perlu bantuan kerana negeri ini kaya dengan hasilnya sendiri sebaliknya Perikatan Nasional (PN) yang harus menunaikan tanggungjawab mereka terhadap hak serta keistimewaan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini kerana, apa yang dilihat ketika pemerintahan era UMNO juga tidak menuntut isu MA63 di Sabah sehingga menyebabkan negeri ini bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan.

Jadi kini, kenapa perlu Sabah bergantung kepada kerajaan persekutuan kalau UMNO sendiri gagal menuntut hak Sabah.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (WARISAN), Jo-Anna Henley Rampas berkata, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Masidi Manjun bahawa Sabah perlu bantuan daripada persekutuan untuk memulihkan dan mengukuhkan kembali ekonomi negeri yang lembap kesan Covid-19 adalah tidak wajar.

Katanya, pandangan terpesong oleh BERSATU Sabah itu adalah penyebab negeri ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya oleh persekutuan.

“Masidi mengatakan bahawa Sabah memerlukan bantuan (pertolongan) dari persekutuan, itu adalah salah. Sabah tidak memerlukan bantuan kerana negeri kita ini bukan seperti Perlis yang tidak mempunyai sumber asli yang banyak.

“Apa yang kita mahukan ialah PN menghormati dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap hak dan keistimewaan Sabah yang termaktub dalam MA63 dan perlembagaan seperti hak 40 peratus keatas cukai yang dikutip oleh persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jo-Anna berkata lagi, Presiden UMNO Zahid Hamidi juga sebelum ini telah berjanji ketika Pilihanraya Kecil (PRK) Kimanis Januari lalu bahawa UMNO akan melaksanakan MA63 tetapi sehingga kini tiada tindakan.

“Selama lebih dari 20 tahun, Sabah telah menyumbang kepada kemajuan persekutuan melalui petroleum dan gas serta minyak sawit.

“Ini dibuktikan apabila Sabah dinamakan sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK) keenam terbesar di negara ini untuk tahun lalu,” katanya.

Jo-Anna berkata, sebenarnya perbelanjaan yang berhemah kerajaan negeri adalah kunci kepada kemampuan ketua menteri untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi negeri ekoran wabak Covid-19.

“Ini membuktikan bahawa kita dapat mengatasi sendiri masalah ekonomi disebabkan oleh wabak ini,” katanya.

Katanya lagi, Masidi juga menyatakan bahawa kegiatan berpolitik akan berkurangan sekiranya BERSATU Sabah atau Barisan Nasional (BN) menang.

“Tetapi dia sepatutnya memberitahu bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman supaya tidak merampas kuasa pada Julai lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Jo-Anna menegaskan bahawa rakyat Sabah harus tahu di mana hala tuju BERSATU Sabah melalui apa yang dikatakan oleh Presiden, Ketua dan Timbalan Ketua parti itu.

“Sekarang jelas bahawa BERSATU tidak berniat untuk memberikan ‘kebebasan’ atau memperkasakan Sabah sebaliknya mahu menjadikan Sabah terus bergantung kepada kerajaan persekutuan dalam semua aspek melalui pulangan yang sedikit sebagai timbal balik kepada sumber asli negeri ini yang diambil dan digunakan untuk menjaga hati pengundi mereka di Semenanjung.

“Orang-orang seperti Hajiji (Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah) dan Masidi juga perlu membentuk pemimpin Sabah muda yang bermaruah dan berani untuk meneruskan perjuangan membela maruah dan hak Sabah.

“Masih kita ingat, dalam keterujaannya untuk membawa lebih banyak orang Kadazan Dusun dan Murut (KDM) untuk menyertai UMNO, Masidi telah mengatakan pada 2014 bahawa KDM adalah sebahagian daripada rumpun melayu dan ini telah membangkitkan kemarahan Timbalan Presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA), Datuk Kalakau Untol pada ketika itu

“Inilah masanya bagi etnik KDM, Bajau dan Cina di Tuaran untuk bangun bersama-sama menentang BERSATU Sabah kerana agenda utamanya hanya untuk ‘memperbudakkan’ rakyat Sabah seperti semasa era UMNO dulu.

“Saya yakin daerah lain di Sabah akan mencontohi apa yang kita lakukan di sini dan bersatu untuk menolak PN juga,” katanya. BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *