Terlalu Bergantung Pada Putrajaya Punca 570 Sekolah Daif Di Sabah, Kata Shafie

Shafie Apdal berucap pada majlis penyerahan geran tanah dan bantuan pertanian di Papar semalam.

PAPAR: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata terlalu bergantung kepada kerajaan pusat menyebabkan negeri itu mempunyai 570 sekolah daif dan selebihnya tidak selamat digunakan.

Katanya, infrastruktur sekolah di kawasan pedalaman juga tidak lengkap dan ini membuktikan Sabah diabaikan kerajaan pusat sebelum ini.

“Sehubungan itu, rakyat Sabah perlu membulatkan tekad dan yakin hanya parti tempatan yang layak mentadbir negeri ini mengikut acuan dan kehendak rakyat Sabah.

“Kita kena yakin kepada diri kita dan kena percaya kita boleh susun atur kehidupan rakyat di Sabah ini.

“Sabah tidak boleh ditentukan oleh Kuala Lumpur, masa depan kita hanya bergantung dengan orang Sabah sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tanah dan bantuan pertanian di Papar hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri bagaimanapun akan bekerjasama dengan kerajaan pusat menggunakan mekanisme kerajaan dengan kerajaan.

“Jangan hanya bergantung kepada yang lain, kita susun atur bagaimana kehidupan kita di Sabah. Ya, memang perlu (bergantung), tetapi bukan bergantung sepenuhnya.

”Kerjasama yang dimaksudkan dengan kerajaan persekutuan adalah dalam urusan antara kerajaan saja demi pembangunan negeri dan negara ini, bukannya dalam soal politik.”- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1391