Pemandu Mabuk Dipenjara, Denda

Sien Chai dihukum penjara empat bulan dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Tawau. Gambar Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM5,500 selepas mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.

Hukuman itu diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, selepas tertuduh Chiang Sien Chai, 54, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sien Chai didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ketika ditahan dalam Ops Mabuk di Jalan Kubota, Tawau, 12.40 tengah malam, Ahad lalu.

Amir Shah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil maklum bahawa Dewan Rakyat meluluskan pindaan Seksyen 45A ini dengan menaikkan kadar hukuman.

Katanya, dalam kes ini kepentingan awam seperti dihujahkan oleh pegawai pendakwa tidak dapat disangkal selain mengambil kira kandungan alkohol dalam badan tertuduh adalah lebih sekali ganda had yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Faktor umur tertuduh juga diambil kira dan sepatutnya sebagai seorang dewasa pada usia 54 tahun, OKT (Orang Kena Tuduh) boleh berfikir dengan waras untuk tidak memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membayar denda itu.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.- HMEtro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1253