
SANDAKAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Sabah sukar menikmati lebih banyak kemajuan jika pentadbirannya tidak tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata, apa yang dikecapi Sabah ketika ini masih terhad dan pelbagai manfaat boleh dibawa ke negeri itu jika tampuk pemerintahannya selari dengan Putrajaya.
“Bagaimana hala tuju untuk Sabah yang paling banyak kekayaan maju ke hadapan. Malah, saya difahamkan negeri ini ada rizab yang saya tidak tahu berapa bilion nilainya.
“Saiz Sabah ini entah berapa ratus kali besar berbanding Melaka, jauh lebih besar.
“Untuk membangunkan Sabah sahaja memerlukan dana sumber yang lebih banyak. Saya tidak fikir kerajaan negeri mampu membangunkan Sabah menjadi negeri termaju di Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Pimpinan Masyarakat bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Menegaskan bukan menidakkan perkara itu, Muhyiddin berkata, keupayaan kerajaan negeri masih terbatas dan terhad.
Justeru, katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri itu wajib berlaku demi kelangsungan pembangunan jangka panjang.
“Ada keperluan yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kerana gandingan kerajaan negeri dan Persekutuan itu wajar berlaku.
“Ini tidak bermakna kerajaan negeri yang sudah dipilih dalam pilihan raya itu kami tolak. Itu kita hormati, kerana yang memilih itu adalah pengundi di Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, adalah lebih baik sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan senada dalam banyak perkara, malah jika Perikatan Nasional (PN) menerajui di peringkat pusat, wajarlah kerajaan negeri juga berada dalam kelompok sama.
“Kalau tiada gandingan Perdana Menteri dan Ketua Menteri rapat serapat-rapatnya, tidak mungkin ini boleh berjaya,” katanya.- BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost