Wanita Maut Dirempuh Triton

Keadaan kereta pacuan empat roda tersebut.

SANDAKAN: Seorang wanita maut, manakala rakannya parah apabila dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda ketika memotong bunga di Jalan Leila, di sini, hari ini.

Mangsa, Hairana Ahirin, 39, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Aidah Amirul, 30, masih menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Duchess of Kent, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa bersama rakannya yang juga pekerja landskap bunga hiasan jalan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dikatakan sedang bekerja sebelum dirempuh kenderaan dipandu lelaki berusia 41 tahun.

Difahamkan, lelaki terbabit yang memandu di lorong kanan dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke Batu Sapi dan hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian, sebelum terbabas dan merempuh kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pemandu kereta pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

“Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan sampel darahnya diambil untuk menguji kandungan alkohol dalam darah.

“Kita minta orang awam yang melihat kejadian sebenar tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5376