PM Kecewa Sabah Tidak Sehaluan

KOTA KINABALU: Perdana Menteri melahirkan kekecewaan beliau dengan kerajaan Sabah kerana tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat pimpinannya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah lebih baik jika kerajaan negeri dapat bekerja sebagai satu pasukan dengan Kerajaan Pusat.

Beliau menegaskan persefahaman antara negeri dan Pusat dapat memberi kesan yang besar dalam pelbagai aspek dan mahu mesej itu sampai kepada rakyat.

“Pelbagai peruntukan disalurkan kepada Sabah dalam bidang sosio-ekonomi, untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) saja sebanyak RM22 juta diperuntukkan.

“Begitu juga dalam bidang industri, pendidikan, pelancongan dan pertanian, membuktikan bahawa Sabah tidak diabaikan.

“Cuma kecewa sikit kerajaan negeri Sabah tak sebaris dan sehaluan dengan saya. Bayangkan jika Sabah sehaluan, ini bukan politik ia realiti.

“Dia (Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kawan baik saya sudah begitu lama. Dulu sama-sama satu landasan, pernah jadi menteri,” katanya di majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Kota Kinabalu hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Noor.

Muhyiddin berkata, kalau kerajaan negeri dan Pusat dapat bekerja sebagai satu pasukan ia akan memberikan kesan yang besar kepada Sabah.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu memahami situasi berkenaan dan mahu mesej yang ingin disampaikannya diterima oleh rakyat negeri berkenaan.

Kerajaan negeri sebelum ini menjelaskan pendiriannya untuk tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mahu mengekalkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) negeri untuk terus mentadbir negeri itu.

Akhir Julai lalu, Mohd Shafie memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sebahagian wakil rakyatnya beralih menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dalam cubaan membentuk kerajaan baharu pro PN.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

11654