Ahli Perniagaan Sabah Nafi Terima Tanah Kerajaan

Seorang ahli perniagaan Sabah menafikan menerima tanah milik Yayasan Sabah seperti didakwa oleh Ketua Menteri Shafie Apdal.

KOTA KNABALU: Seorang ahli perniagaan Sabah menolak dakwaan Ketua Menteri Shafie Apdal berhubungan kehilangan tanah negeri milik Yayasan Sabah.

Mohamed Amin Azizurahman @ Amin Khan berkata, pelbagai pihak menuduhnya sebagai pencuri dan perompak selepas Shafie membuat dakwaan itu dalam ucapannya baru-baru ini yang turut dikongsi secara meluas oleh orang ramai.

Amin berkata, Shafie mendakwa beliau menerima 30,000 ekar tanah di Kalabakan daripada Yayasan Sabah, dan kira-kira 600,000 ke 700,000 ekar tanah milik yayaysan itu “hilang”.

Beliau berkata: “Saya tidak pernah menerima 30,000 ekar tanah daripada Yayasan Sabah pada bila-bila masa sekali pun.

Mohamed Amin Azizurahman @ Amin Khan.

“Sejauh yang saya tahu, tanah konsesi yang dipegang oleh Yayasan Sabah berada di bawah satu lesen dan adalah mustahil ia “hilang” atau diberikan kepada pihak ke-3. Tanah itu kekal di bawah Yayasan Sabah”.

Amin berkata, sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan Sabah, Shafie sepatutnya menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh, yang akan membuktikan bahawa beliau tidak pernah diberikan tanah seluas 30,000 ekar itu.

“Tidak ada tanah sebegitu didaftarkan di bawah nama saya. Oleh itu tidak ada kebenaran sama sekali dakwaan yang dibuat oleh Shafie,” katanya.

Katanya, beliau bersedia membantu apa-apa siasatan yang dijalankan, selain menyifatkan dakwaan Shafie sebagai usaha untuk merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan yang jujur.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *