13 PATI Cuba Masuk Tawau Ditahan Di Kebun Ubi

13 Pati termasuk tiga kanak-kanak lelaki ditahan PPM ketika cuba menyusup masuk secara haram di Kampung Hidayat, Batu 4, dekat Tawau, 2.30 pagi hari ini. FOTO Ihsan PPM

TAWAU: Helah sekumpulan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk secara haram ke Tawau pada awal pagi gagal selepas mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Op Benteng di Kampung Hidayat Batu 4, Tawau, hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan berjaya mengesan kebun ubi yang menjadi transit pendaratan imigran sebelum serbuan dijalankan pada 2.30 pagi.

13 Pati termasuk tiga kanak-kanak lelaki ditahan PPM ketika cuba menyusup masuk secara haram di Kampung Hidayat, Batu 4, dekat Tawau, 2.30 pagi hari ini. FOTO Ihsan PPM

Menurutnya, ketika serbuan pihaknya berjaya mengesan kelibat warga asing yang baru tiba dan bersembunyi di lokasi berkenaan.

Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita termasuk tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia dalam lingkungan tujuh hingga 58 tahun dipercayai warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Nazari berkata, kesemua mereka itu kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih dari enam kali sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat yang terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Sabah di talian 013-2831197.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

30637