Rakyat Sabah Berhak Tahu Penyingkiran Saya Ikut Perlembagaan Atau Tidak, Kata Musa

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman bersyukur kerana berpeluang mengemukakan tuntutannya sebagai ketua menteri yang sah di Mahkamah Persekutuan.

“Syukur ke hadrat Allah kerana saya diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan hari ini bagi meneruskan semakan rayuan untuk diisytiharkan sebagai ketua menteri Sabah yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah, dengan majoriti 2-1 hari ini membenarkan permohonan Musa untuk meminta pengisytiharan beliau adalah ketua menteri Sabah yang sah selepas pilihan raya negeri ke-15 pada 2018.

“Akhirnya, saya diberi peluang untuk membicarakan kes saya secara sepenuhnya di peringkat mahkamah tertinggi.

“Mahkamah Persekutuan mengambil ketetapan kes terhadap TYT Sabah dan Shafie Apdal bukan bersifat akademik, justeru wajar diperdengarkan supaya Mahkamah Persekutuan dapat menentukan keabsahan langkah menolak saya sebagai ketua menteri, susulan pelantikan Shafie sebagai penyandang jawatan berkenaan,” katanya.

Musa berkata, mahkamah juga mengambil pendirian bahawa dapatan daripada kes itu bukan hanya melibatkan seorang individu tetapi untuk semua rakyat Sabah khususnya dan negara secara amnya.

“Rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada langkah penyingkiran terhadap saya sebagai ketua menteri dibuat selaras Perlembagaan Sabah atau sebaliknya. Mahkamah juga menyatakan yang kes ini mempunyai implikasi perlembagaan dan perundangan di peringkat persekutuan.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini bahawa kes ini bukan berkisar mengenai diri saya. Ia adalah berhubung perjuangan menuntut kebenaran, keadilan dan memartabatkan Perlembagaan Sabah,” katanya yang berterima kasih kepada keluarga, pasukan perundangan, sahabat, rakan seperjuangan politik dan penyokong yang kekal bertahan dengannya selama ini.

Dalam perbicaraan sebelum ini, hakim Abdul Rahman Sebli berkata kebenaran rayuan Musa dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Jahid Jahim mesti didengar kerana persoalan undang-undang yang dikemukan amat penting.

“Ini perlu diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak boleh dibiarkan tergantung,” katanya.

Rahman berkata, rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Musa dilakukan secara sah dan mengikut Perlembagaan Sabah.

Hakim Zabariah Mohd Yusof bersetuju dengan Rahman.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3199