Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Esok Jadi Tumpuan

Anggota polis membuat kawalan ketat di hadapan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, akan bersidang esok bagi memutuskan sama ada keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu boleh diadili iaitu dibicarakan di mahkamah.

Keputusan berkenaan bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat setempat, tetapi juga seluruh negara kerana membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim, dijadual membuat keputusan berhubung permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman pembubaran DUN Sabah.

Sebelum ini, Shim menetapkan 21 Ogos iaitu esok, bagi membuat keputusan isu yang difailkan ke mahkamah pada 7 Ogos lalu oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam kepada bekas Ketua Menteri Sabah yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman, bersama 32 ADUN yang lain.

Pada 29 Julai lalu, semua 33 ADUN berkenaan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan itu, semua 33 ADUN terbabit meminta Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan penyandang kerusi DUN Senallang, mendahului langkah Musa apabila menasihati Juhar supaya membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli iaitu 60 dipilih dan lima dilantik.

Musa bersama 32 ADUN lain dalam permohonan itu, mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan meminta perintah mahkamah untuk membatalkan nasihat Mohd Shafie kepada Juhar supaya membubarkan DUN, membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN dan warta pembubaran kerajaan negeri.

Juhar dinamakan sebagai responden pertama, Mohd Shafie sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga manakala kerajaan Sabah, keempat.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1552