PGA Gagalkan Cubaan 10 Warga Asing Masuk Perairan Sabah

Kesemua suspek berjaya ditahan selepas cuba menyeludup masuk secara haram.

SEMPORNA: Hasrat 10 pendatang tanpa izin (PTI) cuba menyeludup masuk ke perairan negara gagal selepas berjaya ditahan pasukan keselamatan, di sini.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, pasukan Polis Diraja Malaysia cawangan Kompeni ‘B’ Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semporna yang menjalankan rondaan rutin terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan antara Pulau Bohey Dulang dan Pulau Pom-Pom.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, bot yang membawa kesemua PTI terbabit dipercayai dari arah negara jiran cuba masuk ke perairan negara melalui laluan tikus.

“Juragan bot yang menyedari kehadiran pihak berkuasa bertindak cuba meloloskan diri, namun tindakan pantas anggota PGA, kesemua mereka berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan awal, mendapati terdapat enam lelaki dewasa berumur 21 hingga 47 tahun, seorang perempuan dewasa, 29, dan tiga kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur 3 hingga 9 tahun di dalam bot terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Mohd Yacob berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, pihaknya juga menemui lima beg pakaian dipercayai milik kesemua suspek dan 21 keping wang kertas negara jiran berjumlah peso 6,310.

“Pihak kami juga turut merampas sebuah bot, tiga jerikin minyak petrol dan dua enjin bot yang dianggarkan bernilai RM3,373 sebelum dibawa ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *