Lahad Datu Miliki Potensi Besar Sebagai Pelancongan Kapal Layar Antarabangsa

LAHAD DATU: Keadaan laut yang tenang dan terlindung dari tiupan angin kencang menjadikan Lahad Datu berpotensi dibangunkan sebagai pelabuhan kapal layar antarabangsa pada masa akan datang.

Pengarah Urusan Sail Malaysia Sazli Kamal Basha berkata, terdapat banyak tempat menarik di daerah ini, namun perlu diterokai khususnya menerusi penyediaan infrastruktur kemudahan seperti marina, jeti atau pangkalan.

SAZLI KAMAL

“Saya rasa, jika ada kemudahan seperti itu, pastinya dapat menarik lebih ramai pelayar di seluruh dunia untuk tinggal atau menetap di sini dalam tempoh masa lama.

“Sudah tentu ia mendatangkan pulangan ekonomi yang lumayan kepada Kerajaan Negeri dan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui sempena Program Pelayaran Malaysia Laluan Ke Timur, Perhimpunan Kapal Layar 2020 di W Bay Payang, dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Sazli, setiap pelayar dijangka boleh membelanjakan sehingga RM200,000 setahun bagi setiap pelayaran.

“Biasanya pelayar antarabangsa akan menghabiskan masa antara dua hingga tiga tahun di setiap negara yang mereka diami.

“Bayangkan pulang ekonomi yang boleh diperoleh Sabah jika adanya marina bertaraf antarabangsa dibina di sini,” katanya.

Tambah Sazli, ia belum mengambil kira sektor industri lain termasuk perkhidmatan baik pulih atau peralatan berkaitan bagi kemudahan pelayar yang tiba di sini.

“Saya melihat Sabah ada banyak tempat menarik dan mempunyai potensi lebih besar dari negeri lain dalam sektor pelancongan.

JOE WONG

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik W Bay Payang iaitu Wong Yu Chun kerana bekerjasama menyediakan lokasi menarik untuk pelayar antarabangsa mengenali produk pelancongan di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sail Malaysia Timur Sabah, Joe Wong Meng Rui berkata, seramai 15 pelayar antarabangsa dari tujuh negara iaitu Australia, England, New Zealand, Belanda, Afrika Selatan, Peru dan Filipina menyertai program tersebut.

“Semua mereka tiba di Sabah sejak akhir tahun lalu sebelum terkandas di sini akibat Covid-19.

“Ia adalah program tahunan Sail Malaysia dan kali ini kita berpeluang membawa mereka ke Lahad Datu sekali gus mempromosikan produk pelancongan domestik di sini.

“Saya berharap dengan adanya program seumpama ini, ia dapat menggalakkan pelancong domestik bercuti di sini sekali gus mengaktifkan semula sektor pelancongan dan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.

Terdahulu, wartawan berkesempatan merasai sendiri menaiki kapal layar dinamakan Zizi milik pasangan suami isteri dari New Zealand iaitu Mark dan Kim.

Menurut Kim, mereka tiba di Sabah pada Disember lalu dari Brunei.

“Banyak tempat menarik dan berbaloi menghabiskan masa lama di sini,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *