Pandu Mabuk, Anggota Tentera Didenda RM5,500, Penjara Sehari

Radin dibawa keluar sebaik selesai prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret Tawau.

TAWAU: Seorang anggota tentera didenda RM5,500 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh Radin Esin, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, dalam daerah Tawau, pada 15 Ogos lalu, jam 12.25 tengah malam.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, Radin didapati memandu sebuah pacuan empat roda di bawah pengaruh alkohol iaitu 248 miligram dalam 100 mililiter darah melebihi kandungan yang dibenarkan sebanyak 80 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 (Akta 333/87).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga dan tiga anak masih bersekolah, selain isterinya suri rumah sepenuh masa.

Bagaimanapun,  Pegawai Pendakwa Kanan Asisten Superintenden Joan Lee memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam.

Joan dalam hujahnya menegaskan perbuatan tertuduh memandu dalam keadaan mabuk bukan saja membahayakan dirinya tetapi juga mengancam nyawa pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,500, gagal bayar penjara enam bulan selain penjara sehari.

Amir Shah turut menjelaskan keputusan sabitan tersebut turut memberi kesan ke atas kerjaya tertuduh sebagai penjawat awam dan menasihatkannya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *