Dua Wanita Dalang Pengedaran Dadah Ditahan Di Inanam

Syabu yang disembunyikan di dalam keratan penyedut minuman berjaya dirampas berdekatan lokasi penahanan suspek di Inanam.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan dua wanita yang menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar Inanam dalam satu operasi terancang di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kedua-dua suspek berumur 20 dan 29 tahun ditahan di sebuah premis perniagaan di Pekan Inanam.

“Semasa penahanan suspek, polis turut merampas 6.21 gram syabu bernilai RM621 yang disembunyikan di dalam 24 keratan penyedut minuman yang disimpan berdekatan dengan lokasi penahanan suspek,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar Inanam dan modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menjadi orang pengantara bagi mendapatkan wang.

“Suspek sebagai orang tengah dengan mendapatkan bekalan daripada sindiket dadah sebelum mengedarkannya kepada pembeli di sekitar kawasan ini.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)1 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau turut menegaskan usaha membanteras gejala dadah akan diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta keamanan penduduk di daerah ini.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

851