Ibu Kecewa Tak Halal Air Susu

Lombok: “Saya tidak maafkan dia. Dia harus bayar air susu saya. Saya penat menjadi ibu, saya bosan,” kata Praya Tiningsih, 52, yang ditujukan khas kepada anaknya, Rully Wijayanto.

Tiningsih berkata demikian selepas Rully, 32, menuntut pembahagian harta pusaka membabitkan tanah seluas 4.2 ekar, rumah serta wang pencen.

Wanita yang berasal dari Semayan, Lombok Tengah itu menolak pembahagian berkenaan dan tidak juga menerima konsep perdamaian dicadangkan Rully, mengkhusus kepada empat perkara.

“Saya tolak perkara pertama. Dia tetap mahu tanah tetapi wasiat bapanya (tanah) tidak boleh dibahagikan,” katanya seperti dilapor Kompas.

Dalam permohonan itu Rully menuntut pembahagian tanah kepada setiap pewaris mengikut hukum faraid.

Kemudian, dia menuntut penjelasan berhubung wang pencen arwah dalam perkara keempat yang ditentang Tiningsih.

“Saya tolak perkara empat kerana pencen itu lebih kepada hak saya,” katanya yang sedih dengan tindakan anaknya.

Menurutnya, tuntutan Rully melanggar kehendak dan pesanan arwah suami yang meminta harta pusaka tidak dibahagikan.

“Ketika hidup dan masih menderita angin ahmar pada 2016, pesan arwah rumah diduduki sekeluarga tidak boleh dibahagikan, dijual dan perlu menjadi rumah bersama,” katanya.

Sementara itu, Rully berkata, pembahagian harta dilakukan untuk mengetahui hak mereka dan supaya tiada pihak luar mengambil kesempatan.

Dia juga menegaskan tidak merosak ataupun menjual rumah pusaka berkenaan, sebaliknya sekadar meminta pengesahan terhadap bahagian masing-masing.

“Nanti jika diputuskan (pihak berkuasa), kita tahu hak kita, adik, mama saya dan supaya tiada yang cuba menuntut harta warisan almarhum bapa,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Rully yang sudah berkeluarga, mula menuntut pembahagian tanah dan wang selepas kecewa kerana ibunya tidak membenarkan dia menambah ruang tamu serta dapur. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1343