PPM Tahan 12 PATI Masuk Ke Sabah

12 Pati yang baru mendarat ditahan PPM Tawau, ketika bersembunyi di sebuah ladang sawit di Batu 8, Jalan Tinagat, dekat sini, semalam. Foto Ihsan PPM.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Batu 8, Jalan Tinagat, Tawau, semalam.

Serbuan jam 10.30 malam itu dilakukan sepasukan anggota PPM menerusi Ops Gelora Khas susulan maklumat dan risikan berkaitan kemasukan Pati di kawasan berkenaan.

12 Pati yang baru mendarat ditahan PPM Tawau, ketika bersembunyi di sebuah ladang sawit di Batu 8, Jalan Tinagat, dekat sini, semalam. Foto Ihsan PPM.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Empat Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, kesemua Pati warga Indonesia terbabit dipercayai baru mendarat dan cuba menyusup masuk ke daerah ini secara haram.

Menurutnya, mereka terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita termasuk pasangan suami isteri serta dua kanak-kanak perempuan berumur antara dua hingga 45 tahun.

“Siasatan awal mendapati ladang sawit terbabit disyaki dijadikan sebagai lokasi transit bagi Pati bersembunyi sebelum mereka dibawa oleh tekong darat untuk bekerja di ladang sekitar daerah ini.

“Siasatan lanjut mendapati semua imigran berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Nazari berkata, kesemua Pati terbabit dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *